Latar belakang
Tariq bin Ziyad berketurunan suku Barbar dari kabilah Nazafah di Afrika Utara. Beliau asalnya adalah pembantu kepada Musa bin Nusair, dengan berkhidmat hanya sebagai budak suruhan. Seorang pemuda yang bersemangat, pintar dan mempunyai kepimpinan.
Pengenalan
Sebelum kedatangan Islam ke Andalusia, Islam sudah pun bertapak di Afrika Utara yang berjaya diperluaskan kawasannya oleh Uqbah bin Naqi’ di bawah pemerintahan Muawiyyah. Ketika zaman pemerintahan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, Musa bin Nusair telah dilantik menjadi wakil khalifah di Afrika Utara. Pada tempoh pemerintahan beliaulah kisah ini berlaku.
Kedatangan Islam ke Andalusia
Ketika rakyat Arika Utara hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Kerajaan Islam, pada masa yang sama rakyat di Andalusia menderita di bawah cengkaman pemerintahan raja yang kejam iaitu Raja Roderick. Sikap Raja Roderick sendirilah yang menimbulkan dendam kepada banyak pihak termasuk salah seorang gabenornya iaitu Gabenor Julian. Julian, Gabenor wilayah Ceuta yang puterinya Florinda telah dinodai Roderick, raja berbangsa Gothic, sangat marah dengan sikap rajanya dan oleh kerana dendam yang membara ini, Julian sendiri berjumpa dengan Musa b.Nusair untuk membuat tawaran.
Dari sinilah bermulanya penaklukan Andalusia oleh orang-orang Islam apabila panglima Julian telah bekerjasama dengan Musa b.Nusair yang menjadi Gabenor di Afrika Utara untuk menakluki Andalusia. Julian sendiri telah menemui dan menghadap Musa b.Nusair untuk membuat tawaran dan meminta pertolongan tentera Islam bagi menentang Roderick di Andalus. Julian juga telah menawarkan pertolongan dalam usaha untuk menakluki Andalus dengan cara memberi segala kemudahan yang diperlukan oleh tentera Islam seperti kapal, jurupandu dan sebagainya .
Walaupun begitu Musa b.Nusair tidak terus menerima tawaran tersebut kerana khuatir Julian hanyalah pengintip yang membuat helah untuk memerangkap tentera Islam. Namun, setelah berbincang dan semua sebulat suara bersetuju untuk menerima tawaran itu, Musa bin Nusair telah melantik Tariq bin Ziyadsebagai ketua pasukan peninjau yang akan belayar ke Andalusia. Walaupun ada yang ragu-ragu dengan perlantikan Tariq sebagai ketua, namun Musa b.Nusair yakin dengan kemampuan Tariq yang asalnya adalah budak suruhannya sendiri.
Ketika Tariq mempersiapkan tentera-tenteranya untuk dibawa sebagai pasukan peninjau, Tariq telah meminta bantuan Julian untuk menyiapkan peta Andalusia untuk dikaji sebelum belayar ke sana. Setelah mengkaji peta Andalusia yang disiapkan Julian dalam tempoh 3 hari, Tariq bercadang untuk mendarat di suatu kawasan yang tidak berpenghuni sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan sebagai pasukan peninjau.
Jabal Tariq
Setelah belayar, menjelang subuh suatu hari Tariq bersama 12 000 orang tentera-tenteranya yang terbaik mendarat di bumi Andalusia. Sesampainya mereka di sana, Tariq bertanya mengenai nama tempat yang mereka duduki itu, namun Julian memberitahu tempat itu masih tidak bernama. Lalu Julian menamakan tempat itu sebagai Jabal Tariq bersempena dengan nama Tariq yang kini dikenali sebagai Gibraltar.
Setelah beberapa ketika berada di situ, Julian meminta izin daripada Tariq untuk pulang ke rumah bertemu dengan isterinya yang sudah lama ditinggalkan, Flora. Semua pembantu Tariq tidak bersetuju dengan permintaan Julian kerana dari awal lagi mereka curiga dengan tindak-tanduk Julian. Namun sikap Tariqyang sentiasa berbaik sangka tidak menghalang Julian untuk bertemu dengan isterinya. Malah Tariqberkata, “Jika kamu berada di tempat Julian sudah pasti kamu juga akan meminta perkara yang sama” bagi membuktikan tindakan Julian bukanlah tindakan yang mencurigakan.
Maka pulanglah Julian ke rumah bertemu isteri kesayangannya yang telah lama ditinggalkan. Oleh sebab desakan isterinya yang bimbang keselamatan Julian, akhirnya Julian terpaksa memberitahu keselamtannya terjamin bersama 12 000 orang tentera Islam. Flora lega mendengar berita itu namun Julian meminta agar berita itu dirahsiakan bagi menjamin keselamatan tentera Islam. Setelah puas bertemu dengan isterinya, Julian meminta diri untuk pulang segera kerana ingin mengintip pergerakan askar-askar Raja Roderick. Namun tidak lama selepas Julian berlalu, kelihatan Flora diheret askar-askar Gothic ke istana Raja Roderick.
Julian bergesa-gesa pulang ke kubu pertahanan tentera islam dan merayu kepada Tariq supaya menyelamatkan isterinya daripada tangan Roderick. Tariq berjanji akan menyelamatkan Flora dan meminta agar dia bertenang dan yakin dengan pembantu-pembantunya. Tariq mengarahkan Panglima Amir, Sufian, dan Malik untuk menjalankan misi itu. Dengan akur pembantu-pembantu Tariq menerima tugasan itu dan mereka menyamar menjadi rakyat Andalusia dengan Julian sebagai penunjuk jalan. Sesampainya mereka di kawasan istana kelihatan isteri Julian diseksa. Namun, Panglima Malik selaku ketua misi mengarahkan semua untuk bersembunyi dalam hutan yang berhampiran. Apabila menjelang malam dan suasana menjadi sunyi barulah mereka menjalankan misi menyelamatkan isteri Julian.
Misi untuk menyelamatkan Flora berjaya tetapi kesemua yang berlaku itu adalah helah Roderick untuk mengintip kubu pertahanan tentera Islam. Sebenarnya ketika Flora diseksa oleh askar-askar Gothic, tanpa disengajakan Flora berkata “ Tidak lama lagi kamu semua akan dibunuh oleh 12 000 orang tentera Islam” kerana terlalu marah dan tidak dapat menahan kesakitan yang ditanggung. Kerana terkejut Roderick meminta kepastian daripada Flora namun Flora tersedar bahawa dia telah membocorkan rahsia penting yang mungkin akan membahayakan nyawa suaminya dan juga tentera Islam. Lalu Flora berdiam diri tetapi sudah terlambat. Roderick mengarahkan agar Flora diseksa di khalayak ramai dan bersiap sedia untuk mengintip kawasan persembunyian Islam, kerana Roderick yakin Julian pasti meminta tolong tentera Islam untuk menyelamatkan isterinya. Dari situlah kawasan persembunyian tentera Islam dikenalpasti pengintip Roderick.
Peperangan di Andalusia
Akhirnya peperangan tercetus setelah askar-askar Gothic berjaya menjejaki kedudukan kubu Islam di Jabal Tariq. Tanpa berlengah Roderick mengarahkan askar-askarnya untuk menyerang kubu tentera Islam keesokan harinya. Dengan diketuai Panglima Goted sebagai ketua askar, peperangan antara Islam dan askar-askar Gothic tercetus. Ketika itu tentera-tentera Islam hanya bersenjatakan pedang, tombak dan anak panah manakala askar-askar Gothic pula lengkap dengan baju besinya. Walapun begitu, peperangan antara kedua-dua pihak tidak menunjukkan kemenangan atau kekalahan sehingga lewat senja. Ini menyebabkan Roderick mengarahkan askar-askarnya berundur dan kembali lagi bertempur esok pagi sebelum matahari terbit.
Ketika semua tentera Islam sedang berehat, Tariq runsing memikirkan bagaimana cara untuk menaikkan semula semangat anak-anak buahnya. Malam itu, Tariq tidak dapat melelapkan matanya kerana terlalu risau memikirkan hal tersebut. Tariq memohon bantuan Allah dan berdoa agar diberi kekuatan. Keesokan harinya setelah solat Subuh berjemaah, Tariq menyuruh pembantunya membakar kesemua kapal mereka. Ramai yang hairan dengan arahan ketua mereka dan ada yang bertanya akan keselamatan mereka kelak. Tidak kurang juga yang bertanya bagaimana mereka akan pulang selepas ini. Lalu Tariq berkata, “Lupakan hasrat kamu semua untuk pulang. Kita datang ke sini demi syahid ataupun kemenangan.”
Panglima Sufian pula bertanya, “Adakah perkara ini pernah berlaku ketika zaman Rasulullah?Memusnahkan harta dalam peperangan?”, namun dengan tenang Tariq menjawab,”Sudah lupakah kalian dengan Perang Muktah?Dalam perang itu Panglima Jaafar b.Abi Talib yang menggantikan Zaid b.Harithah yang syahid, telah membunuh kudanya dan bertempur sambil berjalan kaki sehingga beliau syahid.”(Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mencerca perbuatan itu dan ada para ulama berpendapat tindakan itu diambil kerana dikhuatiri harta itu akan jatuh ke tangan musuh) Begitulah juga seperti kapal, tindakan itu sebenarnya untuk menaikkan kembali semangat tentera-tenteranya.
Kemudian Tariq berpidato, “Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Demi Allah kita datang bagi syahid atau mencapai kemenangan.” Mendengar berita tentera Islam membakar kapal-kapal mereka Roderick,Goted dan askar-askar Gothic mengejek dan mentertawakan perbuatan itu. Mereka mengatakan Tariq sudah gila dan tentera-tentera Islam juga gila kerana akur dengan arahan ketua meraka yang gila. Namun di kalangan mereka ada seorang sahaja yang tidak ketawa, iaitu paderi yang paling tua di situ.
Apabila ditanyakan mengapa dia tidak ketawa oleh Roderick, paderi itu menjawab bahawa dia tidak merasakan berita itu suatu yang melucukan bahkan dia kagum dan takut mendengar berita itu. Roderick hairan dan bertanya kenapa, lalu paderi itu berkata bahawa kamu semua sepatutnya takut bukannya gembira dengan berita ini. Apabila tentera Islam membakar kapal-kapal mereka sudah tentu mereka hanya tinggal sehelai sepinggang dan mereka pasti berjuang habis-habisan untuk mencapai kemenangan.
Roderick terkejut dengan pendapat paderi itu namun dia tidak yakin dengan pendapat itu. Namun sebenarnya terdetik di hati Roderick ada benarnya kata paderinya itu. Oleh sebab itu sebelum Panglima Goted beredar dia bertanya kepada panglimanya, “Jika Tariq sanggup membakar kapal-kapalnya untuk menaikkan kembali semangat tentera-tenteranya, apa yang akan kamu lakukan untuk menghalang askar-askar kita dari lari dari medan peperangan?” Setelah berfikir sejenak Goted menjawab, “Apa kata kita rantai kaki mereka dengan rantai besi supaya mereka tidak dapat melarikan diri.” Raja Roderick berpuas hati dengan jawapan panglimanya itu.
Cahaya Islam di Bumi Andalusia
Akibat pergerakan askar Gothic yang terbatas, akhirnya tentera Islam berjaya menewaskan mereka. Tariqmengarahkan tenteranya berundur kerana yakin mampu menewaskan musuh dengan mudah tanpa mebuang tenaga iaitu dengan membakar rumput kering di mana askar Gothic berada. Ramai askar-askar Gothic terbunuh dalam kebakaran itu kerana tidak mampu untuk lari dan Raja Roderick pula membunuh diri dengan terjun ke dalam Sungai Barbat kerana takut dan tidak mahu menyerah diri manakala Goted melarikan diri bersama askar-askarnya setelah mengetahui akan kematian raja mereka.
Dalam usaha untuk menangkap Goted, Tariq telah berjaya meluaskan pengaruh Islam sehingga ke Cordova, Malaga, Granada dan Toledo.
Setelah beberapa tahun, akhirnya perang paling sengit berlaku di Ecija di mana askar Gothic mendapat bantuan Rom dan Portugal manakala tentera Islam mendapat bantuan Musa b.Nusair yang sampai tepat pada masanya.
Peperangan itu menyebelahi tentera Islam apabila taktik Tariq mengarahkan tentera-tenteranya menukar baju bagi meyakinkan pihak musuh bahawa mereka mendapat bantuan. Kerana ketakutan Goted melarikan diri dan askar-askar Gothic menyerah diri setelah mendapat tahu ketua mereka melarikan diri.
Semangat Tariq
Walaupun sudah mencapai kemenangan Tariq tidak pernah berpuas hati kerana baginya semua tanah di bumi Allah ini berhak mendapat cahaya Islam. Oleh sebab itu, Tariq meminta izin Musa b.Nusair untuk menyebarkan Islam ke seluruh Eropah. Belum sempat Tariq belayar ke Eropah, beliau telah didatangi utusan dari Damsyik yang mengatakan khalifah di sana mengarahkannya untuk datang ke Damsyik dengan segera. Tariq yang terkenal dengan kepatuhannya kepada ketua akur dengan arahan itu.
Sebenarnya arahan itu dilakukan oleh khalifah di Damsyik setelah disogok oleh Raja-raja di Eropah. Raja-raja Eropah tahu akan kelemahan khalifah itu yang gemar akan harta-benda dan gadis-gadis cantik. Sebelum itu taktik itu telah dilakukan kepada Tariq namun tidak berjaya, namun usaha mereka mengena terhadap khalifah di Damsyik itu.
Oleh yang demikian, usaha Tariq untuk belayar ke Eropah tidak dapat dilaksanakan walaupun segala persiapan telah siap dijalankan. Manusia hanya merancang namun Allah yang menentukan. Mungkin belum masanya untuk cahaya Islam sampai ke sana. Tariq meninggal dunia tidak lama selepas sampai di Damsyik. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
0 000:
Catat Ulasan